KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata cawangan KWSP di Nilai, Negeri Sembilan telah beroperasi semula bermula hari ini setelah kerja-kerja pembersihan struktur di atas bangunan cawangan berkenaan selesai dijalankan.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata ahli-ahli boleh mengunjungi cawangan tersebut pada waktu operasi biasa bagi mengakses perkhidmatan penuhnya.

"KWSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli di atas pemahaman dan kesabaran sepanjang tempoh ini serta pihak berkuasa tempatan dan kontraktor atas tindak balas pantas mereka untuk mengosongkan dan membersihkan bangunan itu," tambahnya.

Cawangan di Nilai ditutup pada 18 Okt setelah mendapat arahan dan nasihat Majlis Bandaraya Seremban (MBS) berikutan isu struktur di atas bangunan.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 atau layari laman web myEPF www.kwsp.gov.my.

-- BERNAMA